Kajian Russia mengenai Islam di Alam Melayu



Yüklə 88,5 Kb.
tarix07.08.2018
ölçüsü88,5 Kb.
#60934



Dr. Tatiana Denisova


Kajian Russia mengenai Islam di Alam Melayu.
Kajian Islam (Islamic Studies) di Russia mempunyai sejarah dan tradisi yang lama, malah juga ciri-ciri khasnya. Ramai orang Muslim tinggal di Russia dan di negara-negara yang berjiran. Kajian Islam di Russia dilaksanakan dalam kerangka kajian Timur, iaitu Oriental Studies. Di antara tokoh-tokoh Islamic Studies di Russia perlu disebutkan V. Bartold, I. Krachkovsky, A.Krimsky, dan lain-lain.
Justeru itu di Russia muncul dan berkembang juga tradisi pengajian alam Melayu, iaitu Malay Studies. Di antara pusat-pusat kajian Nusantara yang paling terkenal adalah Institute of Oriental Studies di Moskow dan St.-Petersburg, Institute of Asian and African Studies Moscow University, Institute of Practical Oriental Studies, Institute of International relationship dan lain-lain. Kajian alam Melayu di Russia meliputi pelbagai bidang dan aliran malah juga mempunyai ciri-cirikhasnya.
Kajian Islam di alam Melayu tidak dianggap sebagai subjek kajian yang popular di antara para pengaji tamadun Melayu di Russia. Walaupun begitu terdapat beberapa karya dan kajian, yang mengandungi pandangan para ilmuwan Rusia tentang Islam di alam Melayu. Analisis karya-karua tersebut menunjukkan aliran utama dalam kajian Islam Melayu di Rusia dan ciri-ciri khasnya.

Keyword: Islamic Studies, Oriental Studies, Islam in Malay world

1.

Kajian Islam di Russia merupakan salah satu bidang terawal dalam Oriental Studies Russia. Sejak dahulu kala Russia sentiasa mempunyai hubungan yang rapat dengan dunia Islam dan orang Muslim, misalnya dengan Negara-negara berjiran – Iran, Turki, Negara-negara Arab, Asia tenggah dan lain-lain.Di dalam Russia berada ramai orang Muslim dan juga terdapat pelbagai kawasan, di mana orang Muslim merupakan majority. Itu sebabnya kajian Islam atau Islamic Studies amat penting dan sentiasa digunakan dalam bidang politik serta pentadbiran.

Kajian Islam di Russia sama dengan kajian Islam di Negara-negara lain meliputi pelbagai pangkat atau periode

1. kajian informal, iaitu maklumat dan pengambaraan negara-negara Islam dan orang Muslim yang tidak teratur, yang dibuat oleh orang yang bukan professional. Misalnya catatan pengembaraan para pengembara; para saudagar, para mubaligh agama Kristen (sejak kurun ke-14 – 16)

2. kajian lapangan iaitu catatan harian dan laporan para pentadbir kerajaan Russia dan/atau utusan-utusan resmi dan lain-lain. (kurun ke 17 – 19)

3. kajian ilmiah, iaitu kajian yang dilaksanakan oleh para Orientalis secara professional. (kurun ke-19 – 20).

Di antara para pengembara yang terkenal yang pernah singgah kepada Negara-negara Islam boleh disebutkan Afanasiy Nikitin – seorang saudagar dan pengembara yang pada tahun 1475 - 1479 melawat Bandar-bandar Kazan’, Astrakhan, Maskat, Badar, dan juga pelbagai kawasan di Asia Tenggah, India dan Iran. Beliau menulis catatan pengembaraan yang bertajuk “Lawatan kepada tiga laut”. Di dalamnya terdapat maklumat-maklumat yang menarik tentang kehidupan dan adat-istiadat orang Muslim, dan juga pelbagai fikiran dan pendapat Aphanasiy Nikitin tentang Islam/ Amat menarik juga adalah teks doa, yang membaca Afanasiy Nikitin, seorang yang beragama Kristen Ortodoks. Walaupun begitu di dalam teks doa tersebut terdapat sebutan tentang Allah, Jesus Christ disebutkan sebagai “ISA – RUH Allah”, terjemahan kedalam bahasa Russia ungkapan-ungkapan Islam, misalnya wallahu’alam, Allahu Aqbar, la ilaha illa Allah dan lain-lain.

Satu lagi pengembara – Fedot Kotov (1623) yang mengujungi Persia, Derbent, Isfhaghan, Bagdan dan lain-lain. Beliau menulis buku “Lawatan ke Tanah Parsi”.

Di antara para pelaut dan pegawai kerajaan Russia yang mengembara ke Negara-negara Islam, termasuklah alam Melayu boleh menyebutkan misalnya nama laksmana Ivan Krusenshtern (kurun ke 18), A. Ermolov (kurun ke-18), Egor Meyendorf (kurun ke-19) dan lain-lain. Terdapat juga pelbagai institusi dan lembaga yang dibina oleh para pemtadbir kerajaan Rusia yang berminat mengaji Islam dan orang Muslim. Salah satu lembaga tersebut yang paling menarik dan terkenal adalah Persatuan para pengaji Arkeologi Turkestan (1895), Persatuan para pengaji arkheologi Kaukasus (1871), Lembaga sejarah dan arkeologi Odessa (1839) dan lain-lain.

Kajian Islam bersifat ilmiah yang merupakan salah satu bidang terpenting dalam Oriental Studies Russia boleh dikatakan lahir daripada lembaga-lembaga tersebut. Misalnya Persatuan para pengaji arkheologi Turkestan melahirkan tokoh-tokoh kajian Islam yang terhebat di Russia – Vasiliy Bartold, M.S. Andreev, Evgeniy Smirnov, Boris Lunin, Nikolay Ostroumov dan lain-lain, yang dianggap sebagai pendiri kajian Islam di Russia.

Walaupun kajian Islam di Russia lazimnya menunjukkan kekurangan yang sama dengan kajian Islam di Negara-negara Barat yang lain (misalnya – eurosentrisme, sikap negative terhadap Islam, kerang penyilaian terhadap peranan Islam dalam sejarah dan budaya pelbagai bangsa), sementara itu jelas sekali bahawa kajian Islam di Russia lazimnya bersifat lebih objektif dan fundamental.

Tradisi pengajian Islam di Russia yang mempunyai sejarah yang lama dan trsdisi-tradisi yang cemerlang, wujud pada masa kini juga. Di antara pusat-pusat pengajian Islam di alam Melayu yang kekal wujud hingga sekarang adalah Institut of Oriental Studies di Moscow dan di St.-Petersburg, Institut of Asian and African Studies Moscow State university, Institute Hubungan Antarabangsa Moscow, Institute of Oriental Studies di Kazan’ dan lain-lain. Selepas kedatangan zaman perestroika di Russia muncul dan berkembang banyak institusi yang baru: ada yang berasaskan kajian agama ada yang berasakan kajian ilmiah. Justeru itu banyak institusi yang baru-baru itu masih mempunyai kurang pengalaman dalam bidang kajian Islam.


2.

Salah satu kekurangan yang umum yang terdapat dalam kebanyakan tulisan para Orientalis Barat itu adalah sikap negatif dan pengabaian terhadap Islam dan umat Muslim. Sebagai contoh, sikap yang tidak bijaksana itu dan yang cukup tipikal (lazim) untuk ilmu Orientalis, yang boleh kita sebut, misalnya tulisan Prof. D.B.Mcdonald (Scottish American) “The Religious Attitude and Life in Islam” (Chicago, 1909) atau H.A.R. Gibb (England) “Modern Trends in Islam” (Chicago, 1947)1. Di dalamnya dua ilmuwan yang cukup terkenal itu antara lain, membuktikan secara serius,bahawa Nabi Muhammad s.a.w (Salallahu alaihi wassalam) adalah “psychopath” dan “mentally ill”, atau dengan kata lain - orang gila.

Tentang hal itu Dr. Mukti Ali berkata secara betul: “Tak ada seorang pun daripada para ilmuwan Muslim, yang terlintas dalam angannya menyelidiki adakah Jesus Christ orang gila atau tidak. Isa al-Masih dianggap dan dihormati oleh orang Muslim sebagai nabi. Salah satu prinsip yang terutama yang mesti menjadi dasar dalam semua kajian ilmiah itu adalah sikap baik hati dan objektif”2. Tetapi sampai sekarang juga berbagai-bagai Orientalis Barat tidak begitu berminat dengan hasil penelitian yang objektif. Kebanyakannya berusaha saja menggunakan setiap-tiap alasan untuk membuktikan sifat-sifat negatif Islam dan mengabaikan umat Islam.

3.

Walaupun Pengajian Melayu di Barat termasuklah Russia mempunyai tradisi dan sejarah yang lama, lebih kurang sejak kurun ke-18, sampai sekarang hampir tidak ada karya-karya yang fundamental, yang kompleks, yang sesungguhnya bersifat ilmiah tentang sejarah Islam di alam Melayu dan khazanah persuratan Melayu dari perspektif Islam.

Para orientalis yang meneliti sejarah Nusantara kebanyakannya memilih hal ehwal yang berkaitan dengan tradisi bukan Islam sebagai subjek kajiannya, iaitu tradisi-tradisi lama (sebelum Islam), kebudayaan, sejarah dan adat-istiadat Hindu-Buddha, sedangkan terdapat banyak tulisan tentang Sejarah Baru (Early Modern History) dan situasi moden.
Lazimnya para orientalis menganggap Islam sebagai faktor negatif dalam proses perkembangan alam Melayu juga . Mereka tidak mahu memperhatikan bahawa Islam memajukan perkembangan masyarakat dan bangsa Melayu, dan mereka juga tidak mahu memperhatikan bahawa Islam berpengaruh dalam usaha mengembangkan kebudayaan dan pemikiran umum, termasuk juga ilmu, falsafah dan bahasa Melayu.
Penjajahan terhadap negeri-negeri Melayu oleh orang-orang Eropah tidak memajukan juga proses pemerolehan, penyimpanan dan penelitian warisan umat Islam Melayu. Orang Eropah (kakitangan kolonial mahupun penyelidik) rupanya tidak berminat memahami dan mencipta semula secara wajar sejarah Islam Melayu yang tulen. Hal ini demikian kerana orang Melayu Islam selalu dianggap oleh orang Eropah (yang mempunyai modal) sebagai pesaing yang paling utama dalam perjuangannya untuk mengawal jalan-jalan perniagaan dan mencapai monopoli perniagaan di Asia Tenggara. Menurut pendapat Abdul Haris Nasution “tidak perlu hairan bahawa Islam dalam alam Melayu belum dipelajari lagi secara sepatutnya. Selama penjajahan Eropah yang berlangsung selama 350 tahun itu, pemerintah kolonial selalu berusaha untuk mengaibkan Islam dan umat Islam, dengan menyifatkan orang Muslim sebagai golongan masyarakat yang paling mundur.3
Sikap permusuhan itu semestinya tidak memajukan perkembangan pengajian Melayu dan pemahaman Islam. Salah satu kekurangan dalam pengajian Melayu oleh Barat yang dipengaruhinya oleh konflik antara umat Islam dan Barat ini adalah suatu hakikat, bahawa sampai sekarang masih ada beberapa masalah yang terpenting yang belum dijelaskan dan ditentukan lagi, terutamanya dalam bidang sejarah Islam Melayu yang terawal. Antaranya, termasuklah tempoh perkenalan pertama manusia tempatan dengan agama yang baharu, jalan dan cara penyebaran Islam di alam Melayu, sejarah dan penyebarannya di kawasan tersebut pelbagai arah (aliran) Islam dan ciri-ciri khasnya, dan yang lain-lain.

4.

Lazimnya dalam penulisan para orientalis tentang Islam di alam Melayu serta warisan sejarah Melayu terdapat pelbagai prasangka atau “mitos” :

Yang paling lazim antaranya ialah:

(1) Perkenalan pertama orang Melayu dengan Islam dan orang Islam muncul pada kurun ke-13-ke-14 atau selepas dari abad itu.

(2) Islam datang ke alam Melayu dari India dan dibawa oleh orang India.

(3) Islam di alam Melayu bukan seperti Islam klasik, Islam tulen, Islam yang sebenarnya. Melayu Islam adalah hanya campuran beberapa istilah-istilah Islam dengan tradisi Hindu-Buddha India dan paganisme tempatan.

(4) Kemasukan Islam ke alam Melayu pada waktu itu berlaku secara kebetulan sahaja. Islam tidak bermakna dari segi sejarah alam Melayu. Kehadirannya tidak mengubah apa-apa kepada masyarakat dan kebudayaan Melayu.

(5) Islam tidak mempengaruhi dan tidak memajukan perkembangan ekonomi di alam Melayu.



(6) Islam merupakan sistem pandangan yang sangat agresif pada tahap awalnya.

(7) Orang Barat datang ke alam Melayu sebagai pendamai tanpa tujuan agresif, dan merekalah yang berjasa membawa kemajuan kepada masyarakat Melayu.

(8) Khazanah persuratan Melayu Islam tidak boleh dianggap sebagai sumber sejarah yang sepatutnya, dan yang boleh dipercayai.
Tidak perlu dibuktikan di sini, bahawa khazanah persuratan ini merupakan sumber sejarah yang sangat penting dan sempurna. Tetapi para orientalis Barat sering menganggap karangan sejarah tempatan sebagai sumber yang kuasi-sejarah (separa sejarah), yang bukan bersejarah, dan yang tidak boleh dipercayai. Tidak dinafikan juga bahawa dalam teks-teks sejarah Melayu Islam pada kurun ke-14 hingga ke-19 ada memuatkan unsur-unsur mitologi. Kita perlu juga ingat bahawa karya sejarah dalam bentuk babad atau chronicles atau annals biasanya ditulis oleh pengarangnya atas titah sultan, untuk memuji Yang Dipertuan Besar Negara atau untuk mempromosikan kepentingan dan pandangan keluarga penaung. Kita perlu menyemak setiap maklumat yang terdapat dalam karya-karya tersebut secara kritis dan terperinci apabila kita dapat menyaksikan kebenarannya. Kritikan merupakan satu bahagian yang utama dan alat yang mesti digunakan dalam setiap kajian ilmiah. Walaupun begitu, tidak boleh dikatakan bahawa teks-teks tersebut kurang bernilai, dan tidak boleh menolak penggunaannya sebagai sumber sejarah yang penting.

5.

Pada pendapat saya, ada beberapa sebab tentang pandangan tersebut, iaitu kurangnya penilaian terhadap warisan sejarah Islam. Yang pertama, khazanah persuratan Islam Melayu dan karya-karya sejarah Islam tidak begitu terkenal dalam kalangan para ilmuwan Barat dan Russia, dan kerana tidak begitu ramai antara mereka yang pandai membaca dalam tulisan Jawi.

Sebab yang kedua ialah teks-teks yang sudah diteliti dan diterbitkan tidak begitu banyak. Kebanyakan teks tersebut tidak ketahuan keadaannya kerana banyak naskhah yang hilang pada zaman penjajahan Eropah di alam Melayu.

Sebab ketiga yang menyebabkan kurangnya pernilaian terhadap karya-karya sejarah Melayu Islam ini adalah kerana biasanya karya-karya sejarah tempatan dianggap oleh para orientalis sebagai artifak sastera, sebagai karya dongeng atau legenda, yang boleh diselidiki hanya daripada sudut pandangan filologi mahupun linguistik, tetapi tidak boleh diterima sebagai sumber sejarah yang sempurna dan benar. Mereka membincangkan dan menganalisis gaya bahasa dan genre, dan menilai sifat-sifat sastera, tetapi tidak memperhatikan maklumat-maklumat lain yang berkaitan dengan sejarah yang nyata, antaranya termasuklah kegiatan ekonomi, perniagaan, perkapalan, pertanian, undang-undang, kehidupan intelektual dan lain-lain.



6.

Konflik antara umat Islam dan dunia Barat mempengaruhi juga prasangka bahawa, Islam menjadi faktor yang negatif dalam perkembangan sastera Melayu dan menghapuskan kebudayaan Melayu asli. Misalnya, Sir Richard Winstedt - seorang pakar sastera Melayu yang terkenal dari England - menilai sastera dan historiografi Islam Melayu sebagai satu fenomena yang mundur dan serbah-serbih. Menurut pendapat beliau, semua ciri khas dan sifat-sifat sastera Melayu yang paling ternilai dari segi estetika timbul kerana dipengaruhinya oleh kebudayaan India dan Jawa. Hanya kerana itulah sastera Melayu “mempunyai bau harum yang membangkitkan deria bau dan yang masih kekal waktu itu, tetapi harum itu hilang dengan segera dalam gurun Puritanisme Islam”4.



7.

Unsur-unsur kurang penyilaian terhadap Islam Nampak juga dalam beberapa ungkapan Boris Parnikel – seorang tokoh kajian Melayu yang amat terkenal dan banyak berjasa dalam bidang kajian sastra melayu. menurut pendapat beliau:


Bahasa Melayu dalam karya-karya Islam dari segi ciri-ciri khasnya dan dari segi fungsinya menyerupai bahasa Latin yang mati. … Bahasa Melayu Islam yang digunakan di Nusantara sebagai bahasa wakil bahasa al-Quran menjadi bahasa keagamaan, “sacred language” dan menghilangkan sifat-sifat bahasa percakapan Melayu yang asli yang penuh dengan ungkapan atau simpulan bahasa, dengan aforisme yang begitu cerah, gemilang dan naïf”5.
Sebenarnya memang betul, Bahasa Melayu yang digunakan dalam karya-karya ilmiah Islam memang berbeza daripada bahasa percakapan biasa yang digunakan di pasar atau di kampung pada waktu itu. Karya-karya tersebut yang mempersembahkan hal ehwal sejarah, falsafah dan ilmu yang amat penting dan ikhlas semestinya dikarang dalam bahasa yang tinggi, yang muluk. Perlukah kita merasa kecewa kerana dalam teks-teks ilmiah Islam biasanya tidak digunakan bahasa rendah dan kata-kata kasar?

Gaya dan kosa kata bahasa Melayu Islam memang adalah ketat dan bijaksana. Tetapi menurut pendapat saya, hal tersebut membuktikan bahawa bahasa karya-karya Islam bukannya bahasa miskin, mundur atau mati. Gaya yang ketat itu sebabnya kerana setiap istilah dan setiap kata yang terdapat dalam teks-teks Melayu Islam itu digunakan oleh pengarangnya dengan betul dan mempunyai makna yang tepat dan sempurna.



8.

Ilmuwan Russia Bladimir Tyurin ikut pendapat para Orientalis Barat Snouk Hurgronje, D.J.E. Hall dan lain-lain dan menyatakan bahawa Islam masuk ke Alam Melayu pada abad ke 13 hinggan ke 14serta menegaskan juga bahawa sebelum zaman Melaka, Islam tidak berakar di sini secara mendalam6.


9.

Thomas Raffles, Snouck Hurgronje, N.J. Krom, D.G.E. Hall, Wladimir Tyurin, Braginsky dan Clifford Geertz, hampir semua orientalis Barat, dan juga beberapa ilmuwan dari India dan Indonesia menyatakan bahawa Islam datang ke Alam Melayu dari India dan Islam yang disebarkan di kawasan tersebut adalah suatu “transformed Indian Islam”, yang bukan serupa dengan “Islam Arab” atau Islam asli. Pendapat itu disebutkan juga Theory of Indian Cultural Dominatian in Nusantara. Menurut mereka, Islam Melayu adalah suatu campuran beberapa istilah-istilah Islam dengan tradisi Hindu-Buddha India, dan paganisme tempatan. Saya harap tidak usah dijelaskan bahawa pandangan semacam ini tidak sahih dan kurang berilmu kerana kita tidak boleh menganggap bahawa Islam di berbagai-bagai negara itu adalah agama kaum atau agama ras.

Pendapat tersebut menolak seorang ilmuwan Russia yang sangat terkenal Iliya Pawlovich Petrushevsky dalam bukunya Islam di Iran dalam abad ke 7-15 (1966) menulis antara lain tentang “Teori mengenai agama ras adalah pseudo-scientific7. Pendapat yang sama terdapat dalam karya-karya Prof S.M. Naquib al-Attas. Islam adalah sistem yang umum yang tidak bergantung pada perbezaan kaum. Islam tidak boleh dipecahkan, kerana di semua tempat di Afrika mahupun di China orang-orang Muslim mengakui tauhid, mengucapkan syahadah, bersolat, berpuasa dan membaca al-Quran.

10.

Lazimnya para orientalis Barat yang menganggap Islam sebagai faktor negatif menegaskan dalam tulisan mereka bahawa Islam sejak awal-awalnya adalah terlalu agresif dan selalu bersikap bermusuhan terhadap semua orang yang beragama lain, terutama terhadap orang Eropah, walaupun mereka adalah sebenarnya, menurut tafsiran mereka, yang menjadi pendamai di Nusantara dan banyak berjasa dalam perkembangan negara-negara tempatan. Menurut pendapat D.G.E. Hall: “Islam mengalakkan perpecahan masyarakat dan menjejaskan (merosakkan) tradisi-tradisi rohani dan kebudayaannya”8 .

Justeru itu professor Vladimir Braginsky menolak pendapat tersebut dan menegaskan bahawa peristiwa-peristiwa sejarah perlu menilaikan dalam kerangka analisis keadaan sejarah sezaman serta setiap penilaian tersebut perlu bersifat objektif dan fundamental.

11.

Walaupun kajian alam Melayu masa kini di Russia merupakan bidang ilmu yang maju, penelitian tentang sejarah Islam di alam Melayu hampir tidak ada. Para pengaji lebih berminat menulis tentang hal-ehwal politik, ekonomi, adat-istiadat, bahasa dan sastra, daripada menumpukan perhatian kepada kajian Islam. Salah satu sebab keadaan tersebut adalah kerana lazimnya alam Melayu tidak dianggap sebagai sebahagian daripada dunia Islam. Dan juga Islam dianggap sebagai unsur tanadun asing yang tiada kaitan dengan tamadun Melayu asli.

Justeru itu terdapat beberapa karya yang focus kepada Islam atau yang mengandungi pendapat dan rumusan tentang Islam.

Misalnya:



Professor Boris Parnikel

Hikayat Hang Tuah. / Terjemahan ke dalam bahasa Rusia. Moscow:Nauka, 1984. 398 mss 50000 naskah.

Pendekatan terhadap sejarah sastra di Nusantara. Moscow:Nauka., 1980. 244 mss.


Professor Vladimir Braginsky
Buku Hamzah Fansuri . Moscow: Nauka, 1988.. 341 mss. 3300 naskah
Buku Sejarah sastra melayu Klasik kurun ke VII—XIX. Мoskow:Nauka. 1983, 495 mss. . 950 naskah.
Professor Elena Revunenkova

Sulalat as-Salatin.Manuskrip Kruzenshtern dan peranannya dalam budaya dan sejarah. St.-Petersburg: Peterburgskoye Vostokovedeniye. 2008. 480 mss.

Bangsa-bangsa Malaysia dan Indonesia Barat. Ciri-ciri khas kebudayaan rohani. Moscow: Nauka, 1980. 274 mss 2500 naskah



Professor Alla Ionova

Undang-undang Islam dan sistem hukuman di Asia Tenggara. Moscow:1983

Islam di Asia tenggara: masalah-masalah perkembangan pemekiran. М., 1981.

Professor Vladimir Tyurin

Sejarah Malaysia. pengambaran ringkas. Мoskow: Nauka. 1980. 264 mss.. 3250 naskah.


Dr. Lyubov’ Goryaeva
Hikayat Bakhtiar. / Terjemahan ke dalam bahasa Russia. Мoskow: Nauka. 1989. 163 mss. 15000 naskah
Dr. Ivanov Sergey

Islam dan peranannya dalam kehidupan masyarakat Malaysia masa kini. Moscow: 1994.



Dr. Swetlana Thor
Undang-undang Melaka sebagai sumber sejarah tentang sejarah zaman pertengahan di Malaya pada kurun ke XIV – XVI. M. 2005
Ms. Irina Katkova

Sufi saints of Sumatra. St. Petersburg, 2009


12. Masa kini di Institute of Oriental Studies Moscow minat terhadap Islam di alam Melayu semakin tambah. Pihak Moscow berminat bekerja sama dengan institusi-institusi Islam di alam Melayu, termasuk Malaysia. Pekerjaan sama dalam bidang Islamic studies amat penting supaya mengurangkan kesalahfahaman di antara para Orientalis dan para ulama dan juga akan amat berfaedah untuk kedua-duanya pihak.

1 D.B.McDonald. Prof. The religious attitude and life in islam. Being the Haskell lectures on comparative religion delivered before the Univ. Of Chocago in 1906. Chicago, 1909; H.A.R.Gibb. Modern trends in Islam. Chicago, 1947.


2 A.Mukti Ali.Dr. Pidato restu/petunjuk Utusan Yang Mulia menteri Agama/ In: Sejarah masuknya islam ke Indonesia. . Risalah seminar. Medan, 1963, h.48

3


4 Winstedt R.O “A History of Classical Malay Literature” By Sir Richard Winstedt 1991 revised, edited and introduced by Y.A. Talib. Petaling Jaya (MBRAS. Reprint 12., Cetakan Pertama. 1939)


5 Parnikel B.B. (1977), ‘Sekitar Masalah Fungsi Bahasa Melayu Tulisan dan Tentang Susunan Sastra Melayu Tradisional’, dalam Malay-Indonesian Research. Bil. 1, hal. 97-98.

6 Hall, D.G.E. (1955), A History Of South-East Asia, London: Macmillan, hal. 176; S. Hurgronje C. (1924), ‘De Islam in Nederlandsch Indie’, in Verspreide Geschriften. Bohn - Leipzig, 1923-1927, vol. IV, p. 359 – 391 dan Tyurin V. (1980), Sejarah Malaysia. Moscow: Nauka, hal. 44.

7 Petrushevsky Ilya P. (1966), Islam in Iran in 7-15 c. Leningrad: Nauka, h. 41.

8 D.G.E. Hall. (1955), A History Of South-East Asia, London: Macmillan, hal. 176

Yüklə 88,5 Kb.

Dostları ilə paylaş:




Verilənlər bazası müəlliflik hüququ ilə müdafiə olunur ©genderi.org 2024
rəhbərliyinə müraciət

    Ana səhifə